Thursday 16 June 2011

TIMBALAN KETUA MENTERI SABAH MAIN POLITIK..??

  1. Hangat juga akhir-akhir ini dengan isu-isu semasa; antaranya isu demonstrasi jalanan yang akan didakan oleh gerombolan yang menamakan diri mereka BERSIH - ; juga isu pilihan raya masjid-masjid di Pulau Pinang – dengarnya senarai pemilih rasmi tiada jadi bagaimana mereka hendak mengundi? - satu bukti demokrasi ala DAP!; di Selangor pula isu pengguguran Datuk Dr Hassan Ali dari kerusi YDP PAS Negeri – kecoh sebab tidak ‘sebulu’ dengan pimpinan PAS Pusat dan rakan-rakan dalam kerajaan Negeri, PKR dan DAP!; dan isu Menteri KPKK buat janji kosong, tuduhan datang daripada pemimpin Negeri Sabah.
  2. Tuduhan terhadap Menteri KPKK berkaitan projek Jalur Lebar, satu projek merapatkan jurang digital di Negara ini.
  3. Dari semakan yang dibuat, Jalur Lebar dan Pusat Jalur Lebar Komuniti dikatakan bertujuan untuk menyediakan kemudahan capaian internet jalur lebar kepada masyarakat di kawasan luar bandar di seluruh Negara. Melalui kemudahan ini, rakyat dapat meng’akses’ komunikasi dan multimedia dengan lebih laju.
  4. Ketika ini penembusan jalur lebar meliputi 31.4%, satu pencapaian yang memberangsangkan melebihi sasaran 30% tahun 2009. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dikatakan memerlukan 18.5% lagi untuk mencapai sasaran 50% penembusan menjelang akhir 2011.
  5. Projek ini diperluaskan ke seluruh Negara. Keluasan mukabumi dan keadaan geografi negeri Sabah dan Sarawak memberi kekangan untuk mencapai sasaran dengan cepat terutama di kawasan-kawasan luar bandar. Walaupun kadar penembusan jalur lebar ini rendah di Sabah dengan capaian hanya 16% tahun ini tetapi ianya tidaklah seteruk Kelantan (13.9%) dan Kedah (19.7%).
  6. Kerajaan Negeri dan Persekutuan sedang memulakan beberapa projek untuk meningkatkan penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) terutamanya kepada penduduk kampong pedalaman. Projek “e-Desa Kundasang” umpamanya, disasarkan kepada petani di kawasan pedalaman di Kampung Bundu Tuhan. Ini bagi memperkenalkan penggunaan dan nilai ICT kepada penduduk kampong.
  7. Kerajaan melalui SKMM telah menyediakan peruntukan yang besar iaitu RM383 juta untuk negeri Sabah bagi tempoh lima tahun mulai tahun 2012 dalam usaha merapatkan jurang digital dalam program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS).
  8. Secara logiknya, dalam perancangan dan pelaksanaan sesuatu dasar tentulah memerlukan satu tempoh yang sesuai untuk melihat keberkesanannya. Begitu juga dengan program penembusan jalur lebar ini. Mana mungkin program ini boleh mencapai sasaran dalam sekelip mata kerana ia memerlukan pelaksanaan infrastruktur yang sesuai juga. Saya yakin bahawa Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) sentiasa berusaha untuk melakukan perubahan demi perubahan. Ini bukanlah sesuatu yang mudah.
  9. Dalam isu pemberian Netbook 1Malaysia pula, ia diberikan kepada pelajar-pelajar yang dipilih khas. Fasa pertama sahaja 10,000 unit komputer riba telah diagih-agihkan di Sabah dan sebanyak 49,832 unit lagi akan diedarkan dalam masa yang terdekat ini. Pemberian alat ini memberi peluang dan kemudahan kepada pelajar-peljar untuk belajar dan mengenali teknologi maklumat kearah melahirkan masyarakat yang celik IT. Kegunaan komputer riba mengakses internet hanya 1% daripada kepasiti keseluruhannya.
  10. Ini diakui sendiri oleh Dr. Yee Moh Chai semasa melancarkan Siri Ceramah Peluang Jalur Lebar pada 10 November 2010 di Kota Kinabalu, Sabah. Beliau juga berkata, Projek Pusat Komuniti dilaksanakan di Kampung Sungai Damit, Tuaran; Perpustakaan Jalur Lebar Komuniti di Kanibongan, Pitas; dan Pusat Jalur Lebar Komuniti di Kampung Sukau, Sandakan. Peluang ini diberikan kepada mereka yang kurang berkemampuan untuk menikmati kemudahan prasarana teknologi maklumat.
  11. Dr. Yee Moh Chai, pastinya seorang yang dianggap professional. Apa tidaknya, dengan kelulusan yang beliau ada, menang pula dalam pilihan raya DUN N15 Api-Api, kemudian dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga sebagai Menteri yang menjaga hal ehwal Pembangunan Sumber dan Teknologi Maklumat Negeri. Tentunya kita beranggapan bahawa dengan latar belakang sebagai seorang professional dan memegang jawatan kanan dalam kerajaan negeri, beliau mempunyai advantage untuk menjaga kedudukan dan kewibawaan beliau.
  12. Dengan cara membuat kenyataan terbuka dengan tuduhan berat terhadap seorang Menteri lain dari Persekutuan amatlah berat dan keterlaluan. Tuduhan “Rais buat janji kosong” umpamanya satu kenyataan berniat jahat. Apabila akhbar-akhbar harian di Sabah seperti Daily Express, New Sabah Times, See Hua Daily, Overse Chinese Daily dan Borneo Post menyiarkan kenyataan beliau maka rakyat melihat bahawa ada yang tidak kena dengan kenyataan tersebut. Berdasarkan kepada fakta dan pelaksanaan projek jalur lebar ini, apakah alasan beliau untuk membuat tuduhan. Apakah ada agenda peribadi?
  13. Apakah tidak ada ruang untuk beliau meluahkan rasa tidak puas hatinya kepada Menteri? Saya percaya tentu ada, umpamanya minggu yang baru berlalu DSU Dr. Rais Yatim, Menteri KPKK hadir dalam majlis sambutan Tadau Keamatan di Kota Kinabalu. Lagipun Dr. Yee Moh Chai sebagai menteri kanan beliau tentunya mempunyai peluang yang cukup untuk berbincang dalam platform rasmi atau tidak rasmi, dalam mesyuarat, dalam perjumpaan dan sebagainya. Mengapa beliau tidak menggunakan ruang dan peluang tersebut?
  14. Sebagai seorang yang berkedudukan tinggi dan dihormati, gunakanlah platform yang sesuai untuk berbincang. Elakkan daripada polemik akibat tindakan atau kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat.
  15. Usah bermain politik sesama sendiri, jangan beri pembangkang kesempatan...!!


No comments:

Post a Comment