Friday 18 March 2011

SIAPA KATA PENGUNDI MUDA TIDAK SOKONG BN?



1.   Barisan Nasional (BN) menang bergaya. Dua kawasan DUN dimenangi serentak, DUN N28 Kerdau dan DUN N27 Merlimau. Kemenangan BN dalam dua kawasan pilihan raya ini jelas menunjukkan rakyat bukan sahaja menerima kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi kemenangan ini memberi gambaran bahawa rakyat memberi sokongan penuh kepada gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Rakyat juga sudah memahami dan menerima perubahan dasar-dasar transformasi sosial dan ekonomi yang dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.

2.   Di Merlimau, calon BN Roslan Ahmad (44) menewaskan PAS diwakili oleh Yuhaizad Abdullah (38) dengan majoriti 3,643 undi. BN memperoleh 5,962 dan PAS 2,319. Seramai 78.98% keluar mengundi. Manakala di Kerdau pula Syed Ibrahim Syed Ahmad (44) mewakili BN mendapat 5,060 undi dan Hassanuddin Salim (43) wakil PAS sebanyak 2,336 undi. Seramai 83.2% telah menunaikan tanggungjawab mereka dalam pilihan raya serentak pada 6 Mac yang lalu.
 
3.   Momentum sokongan rakyat kepada BN berterusan. Sokongan ini menunjukkan keyakinan rakyat terhadap keseriusan BN menangani setiap permasalahan rakyat. Selain Kerdau dan Merlimau, kemenangan bergaya dikecapi bermula dengan  DUN Batang Ai (April 2009), DUN Bagan Pinang (Oktober 2009), Parlimen Hulu Selangor (April 2010), DUN Galas (November 2010), Parlimen Batu Sapi (November 2010) dan Tenang (Januari 2011).

4.   Kejayaan besar BN jelas apabila memenangi semua saluran iaitu 22 saluran di Kerdau dan 21 saluran di Merlimau. Di Kerdau umpamanya, Pusat Mengundi di SMK Kerdau, BN mendapat 698 undi dan PAS hanya 377 undi, SK Lipat Kajang (BN 243, PAS 99) dan Balai Raya Kerai (BN 286, PAS 44). Calon BN mengundi di SK Kuala Tekal dimana BN mendapat 241 dan PAS 64 undi.

5.   Kawasan FELDA yang merupakan kawasan tumpuan dan dianggap ‘panas’ dimana pembangkang cuba untuk meluaskan pengaruhnya tetap setia kepada parti kerajaan. Mereka nyata tidak terpengaruh dengan dakyah-dakyah dan momokan pembangkang yang mahu memecah-belahkan perpaduan dan keharmonian kehidupan peneroka FELDA. Pembangkang membuat pelbagai tuduhan palsu seperti kononnya FELDA bankrap, isu rumah generasi kedua, isu bayaran SES dan lain-lain lagi. Peneroka tetap tidak berganjak dari menyokong BN yang semakin yakin bahawa parti tersebut sahaja mampu membela nasib mereka. Ini jelas jika diteliti hasil sokongan dalam semua pusat mengundi di kawasan-kawasan FELDA. Pusat mengundi di SK Jengka 22 (BN 589, PAS 282), SK Jengka 25 (BN 307, PAS 43), SK Jengka 23 (BN 919, PAS 405) dan Dewan Serbaguna Rumpun Makmur (BN 412, PAS 159).

6.   Kejayaan BN ini lebih bermakna lagi apabila pengundian tersebut juga memperlihatkan ‘trend’ sokongan pengundi muda kembali kepada BN. Ini memberi tamparan hebat terhadap PAS yang kian merosot dan terhakis. Pengundi muda yang terdiri daripada golongan belia, anak-anak peneroka FELDA dan anak-anak Orang Asli nyata tidak mahu menggadaikan masa depan mereka. Mereka faham perjuangan ibu bapa mereka yang bertungkus-lumus untuk membela generasi muda. Keputusan ini juga menunjukkan sekiranya calon yang dipilih adalah baik, kempen yang dijalankan dengan cara yang tepat, pengundi muda yang sebelum ini dikatakan tidak menyokong BN boleh kembali kepada BN.

7.   Pola sokongan pengundi muda di Pusat-pusat mengundi Merlimau Pasir, Ayer Merbau, Chinchin, Jasin Lalang, Permatang Serai dan Pengkalan Samak menunjukkan sokongan padu pengundi muda yang berpihak kepada BN. Paling ketara di Jasin Lalang, BN memperoleh 256 undi berbanding PAS hanya 48 undi, Permatang Serai (BN 313, PAS 112) dan Pengkalan Samak (BN 338, PAS 127).

8.   Keyakinan pengundi muda ini bersandarkan kepada dasar-dasar kerajaan yang banyak membantu golongan muda, umpamanya, Dana Belia 1Malaysia yang memberi peluang kepada belia-belia mendapat bantuan menjana ekonomi; program pendidikan berterusan; peluang-peluang pekerjaan, penyertaan dalam membuat keputusan; dan berbagai peluang dan ruang diberikan kepada golongan tersebut.

9.   Rakyat sudah bosan dengan janji-janji politik pembangkang. Sudah tiga tahun berlalu, masih banyak janji yang belum ditunaikan di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan. Pembangkang tidak berlaku jujur dan adil kepada rakyat yang mengundi mereka. Tidak banyak yang boleh dilakukan merka kerana politik mereka bukan politik jujur mahu membantu rakyat sebaliknya terus bermain politik untuk mengekalkan kuasa peribadi sendiri. Tidak hairanlah berlaku kepincangan dalam pemilihan parti mereka, isu moral ketua mereka yang masih berlarutan, pemberian peluang-peluang perniagaan kepada kroni-kroni, kes kecurian pasir, kecelaruan pendekatan dalam menangani desakan rakyat, dan lain-lain lagi.


10.                Di Sarawak, seramai 310,000 pengundi muda iaitu 33% daripada jumlah 900,000 pengundi keseluruhannya. Pengundi muda kaum Cina (100,000), Melayu (70,000) Bumiputera lain (140,000) dan lain-lain suku kaum (1,000). 73% terdiri daripda golongan muda berumur antara 21 – 30 tahun dan 27% mereka yang berumur antara 31 – 40 tahun.

11.                Terdapat kira-kira 700 buah persatuan  yang dianggotai oleh golongan belia di negeri ini. Mereka perlu didekati untuk disampaikan maklumat dan hasrat kerajaan melalui system komunikasi berkesan. Persatuan-persatuan ini boleh digunakan sebagai agen membentuk pemikiran, perlakuan dan sikap politik yang condong kepada BN.

12. Ketika ini pengundi muda boleh menilai keupayaan parti-parti pembangkang. Mereka sebenanrnya telah hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim, pemimpin utamanya yang dilihat bersikap ego, berlagak pandai, mementingkan diri sendiri, mengutamakan kroni dan ahli keluarga, mempunyai moral peribadi yang rendah. Beliau dilihat sebagai lemah, menjadi 'liabiliti' kepada pembangkang dan tiada kesungguhan untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan parti-parti pembangkang.

13. Berbanding BN, pendekatan'touch-point' atau sentuhan terus merupakan pendekatan baru yang diambil yang boleh memikat pengundi muda yang dianggap undi penentu. Pembaharuan yang dibawa oleh Dato' Sri Najib ini nyata memberikan hasil yang lumayan kepada BN.

14.  Kemenangan ini diharap tidak melekakan BN. Perjuangan BN  masih belum selesai, persediaan dan persiapan lebih mantap dan jitu perlu dilakukan bagi menghadapi pilihan raya negeri Sarawak tidak lama lagi dan pilihan raya umum ke 13. BN mempunyai tugas besar untuk memastikan momentum kemenangan ini terus memihak kepada mereka demi masa depan Negara.
       

Tuesday 8 March 2011

JANGAN CUBA BERMAIN API

1.  Sidang Parlimen, Penggal Keempat Majlis Parlimen Yang Ke 12 telah pun dirasmikan oleh DYMM Seri Paduka Yang diPertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin semalam. Makam bermulalah perbahasan oleh Ahli-Ahli yang Berhormat sehingga 7 April, 2011.

2.  Tuanku telah bertitah bahawa isu-isu asas dan penting jangan lagi ditimbulkan. Isu-isu kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, kedudukan istimewa orang-orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak serta kaum-kaum lain, kewarganegaraan, hak asasi kaum, dan lain-lain isu yang telahpun termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan hendaklah tidak dipersoalkan lagi.

4.  Begitu juga jangan ditimbulkan perkara-perkara yang tidak benar dan berunsurkan fitnah yang boleh membawa kerosakan dan kemudaratan kepada agama, bangsa dan negara.

4.  Titah Tuanku ini adalah rentetan peristiwa dalam sidang Parlimen yang lalu dimana ramai Ahli-Ahli Parlimen telah membangkitkan isu-isu sensitif dan berkelakuan tidak normal yang telah menimbulkan keresahan, kerisauan dan kebimbangan rakyat.

5.  Sebagai Ahli Parlimen yang telah dipilih oleh pengundi-pengundi, dia hendaklah membawa isu-isu yang berkaitan kawasan masing-masing untuk dibahaskan di Parlimen dan mendapat pandangan balas bagi kebaikan rakyat di kawasan.

6.  Jangan lagi ada hendaknya Ahli-Ahli Parlimen yang cuba bermain api, berfikiran sempit dalam kelompok kaum, berkelakuan seperti sarkas di zoo, menjerit-jerit, melompat-lompat, berdemonstrasi dan sebagainya, yang mengenepikan etika, disiplin dan sopan santun.

8.  Jika ada lagi sedemikian, pengundi-pengundi di kawasan berkenaan hendaklah mengenepikannya dalam PRU akan datang.

Saturday 5 March 2011

10 DALIL PAS TIDAK BOLEH MEMERINTAH MALAYSIA

PAS sedang ghairah menjalankan kempen Pas Ganti UMNO di serata tempat di Pahang dan negeri-negeri lain. Sila copy dan sebarkan.

10 Sebab PAS Tidak Layak Ganti UMNO
1. PAS bukan sebuah parti yang kuat dalam pakatan pembangkang. Kelemahan PAS bertambah apabila tertubuhnya PKR yang tidak dapat menerima perjuangan ‘ala PAS’.


2. PAS tidak kuat kerana tidak menjadi ‘tulang belakang’ kepada pakatan pembangkang . Kadang-kadang PAS umpama ‘melukut di tepi gantang’, itulah yang dialami oleh Dr. Hasan Ali.

3. PAS hanya parti ‘pak turut’ dan ‘kuda tunggangan’ yang tunduk kepada desakan DAP dan PKR. Sampai bila PAS mahu menjadi ‘parti lampin pakai buang’ atau bila diperlukan sahaja.

4. PAS tidak mampu bergerak sendiri dan bergantung kepada ‘bantuan talian hayat’ PKR dan DAP. Sebab itu PAS bergerak bersama-sama PKR dan DAP dalam apa program Pakatan Pembangkang.

5. Peranan PAS tidak sehebat DAP dan PKR yang pandai mengambil kesempatan di atas gelap mata (kealpaan) PAS yang sedang 'berseronok digula-gulakan' oleh DAP dan PKR.

6. PAS gagal menonjolkan dirinya sebagai sebuah parti yang mendukung prinsip Islam. PAS lebih gemar merujuk dan meminta perlindungan daripada DAP sekiranya menghadapi masalah.

7. Karpal (DAP) walaupun pernah berkata akan pertimbangkan bahawa Malaysia adalah sebuah Negara Islam namun kenyataan ini meragukan kerana beliau pernah berkata langkah mayatnya terlebih dahulu jika mahu menubuhkan Negara Islam. PAS ditipu hidup-hidup oleh Karpal (DAP) semata-mata mahu mencapai cita-cita parti DAP.

8. PAS gagal menjadi sebuah parti yang melindungi orang Melayu. PAS hanya banyak memperjuangkan parti dari nasib orang Melayu. Kadang-kadang PAS bersuara setelah tersepit dengan isu yang mencengkam partinya tetapi PAS masih gagal memenangi hati orang Melayu.

9. Islam di kalangan pemimpin PAS hanya ‘comel’ luaran sahaja tetapi dari segi akhlak dan peribadi langsung tidak mencerminkan sedemikian. Pemimpin PAS dikenali dengan kuat emosi, tidak berhemah dan suka maki hamun. Lebih teruk lagi PAS suka mengutuk dan menghina rakan seagama yang tidak sefahaman dengannya.

10. PAS ibarat 'melacur kedaulatan Islam' dan musuh Negara Islam kerana sedaya upaya merompak kuasa politik Islam di Malaysia. Malahan PAS menjalin 'kerjasama haram' dengan DAP secara terang-terangan bertentangan hukum Islam.

Friday 4 March 2011

UNDI PAS MASUK SYURGA


1.  Masya Allah, apa dah jadi ni? Undi PAS masuk syurga?

2.  Apa nak jadi dengan umat Islam di negara ini terutama ahli-ahli PAS?

3.  Setiap undi menjanjikan SYURGA??

4.  Ini fatwa baru yang ditabur merata-rata di kawasan N28 DUN Kerdau sebagai bahan untuk memancing undi. Apakah Mursyidul Am PAS, Nik Aziz Nik Mat merestui fatwa ini? Bagaimana pula pandangan Presiden PAS, Hadi Awang?

5.  Apa pula pendapat alim ulamak PAS di serata Malaysia, apakah fatwa ini benar? UNDI PAS DAN GERENTI MASUK SYURGA....!!

6.  Kalau undi PAS d N28 Kerdau ini dijanjikan syurga, bagaimana pula pengundi-pengundi lain yang tidak mengundi PAS? Bagaimana status atau kedudukan ahli keluarga PAS, ibu, ayah, tok, nenek, moyang dan seterusnya yang terdahulu yang telah kembali kerahmatullah yang tidak menjadi ahli dan tidak pun mengundi PAS? Logiknya mereka MASUK NERAKA??...Masyallah....!!

7.  Makanya pengundi-pengundi bukan Islam bila undi PAS juga akan masuk syurga..??

8.  Mudahnya PAS mengeluarkan fatwa semata-mata untuk mendapat undi. Sanggup gadaikan agama untuk undi. Sanggup jual agama kerana hendakkan undi....

9.  Oleh itu wahai ahli-ahli dan penyokong PAS, kamu tak perlu susah-susah buat amal ibadat, solat, puasa, sedekah, zakat dan lain-lain lagi sebab jika nak masuk syurga hanya dengan mengundi sahaja..mudah kan??

10.  Kepada umat Islam yang seagama dengan Apo-tu-jang jangan terpedaya dengan tipu dakyah songsang PAS ini. Jangan kita terpesona dengan fatwa ini. Allah yang menjanjikan syurga kepada umat Islam yang bertaqwa dan beriman denganNya, yang melaksanakan segala perintah dan menjauhi segala laranganNya.

Wednesday 2 March 2011

PERISTIWA




MERLIMAU DAN KERDAU: BN LWN PAS

1.  Kempen pilihanraya kecil di dua Dewan Undangan Negeri (DUN) sedang rancak berjalan. Di Melaka, N27 DUN Merlimau dalam Parlimen Jasin dan di Pahang pula, N28 DUN Kerdau dalam Parlimen Kuala Krau.

2.  Kedua-dua DUN Merlimau dan Kerdau kosong akibat kematian wakil rakyat masing-masing iaitu Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan dan Datuk Zaharuddin Abu Kassim

3.  Di Merlimau, pertandingan dua penjuru antara Barisan Nasional (BN) dan PAS. BN diwakili oleh calonnya Roslan Ahmad, 44 tahun, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jasin dipertaruhkan bagi mempertahankan kawasan tersebut manakala PAS pula diwakili oleh Yuhaizad Abdullah, 38 tahun, Timbalan Ketua PAS Negeri. Di DUN Kerdau, BN diwakili oleh Syed Ibrahim Syed Ahmad (Syed Ibra), 44 tahun, Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau dan PAS pula diwakili oleh Hassanuddin Salim, 43 tahun, Ketua Penerangan PAS Pahang.

4.  Seramai 10,679 pengundi dalam DUN Merlimau dan 8,999 pengundi bagi DUN Kerdau dijangka akan melaksanakan tanggungjawab mereka pada 6 Mac 2011 ini. Dalam PRU12 (2008) yang lalu bagi DUN Merlimau, BN menang dengan majoriti 2,154 menewaskan calon PAS Jasme Tompang dan DUN Kerdau BN menang dengan majoriti 1,615.

5.  Siapakah antara dua parti ini yang akan berjaya memenangi hati pengundi pada 6 Mac ini? Apakah BN berjaya mempertahankan kedua-dua DUN berkenaan atau apakah PAS yang semakin merosot sokongan rakyat akan berjaya?

6.  Yang jelas kelihatan dalam kempen di kedua-dua DUN tersebut, BN terus mendapat tempat di hati pengundi. Jentera pilihanraya yang dibentuk nampaknya berjaya digerakkan sepenuhnya.

7.  Semoga Syed Ibra akan terus berjaya mengibarkan bendera BN untuk meneruskan perjuangan agama, bangsa dan negara.

8.  Hidup BN...!!

SALAM PERKENALAN

1.   Salam perkenalan dan selamat datang ke blog yang baru saya cipta hari ini.

2.   Harap dapat berkongsi maklumat dan mendapat pandangan balas demi kebaikan bersama.

3.   Blog ini akan memaparkan berbagai topik, isu, pandangan, sentuhan, usikan, lontaran, dan seumpamanya.

4.   Ia merupakan pandangan peribadi.