Friday 18 March 2011

SIAPA KATA PENGUNDI MUDA TIDAK SOKONG BN?



1.   Barisan Nasional (BN) menang bergaya. Dua kawasan DUN dimenangi serentak, DUN N28 Kerdau dan DUN N27 Merlimau. Kemenangan BN dalam dua kawasan pilihan raya ini jelas menunjukkan rakyat bukan sahaja menerima kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi kemenangan ini memberi gambaran bahawa rakyat memberi sokongan penuh kepada gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Rakyat juga sudah memahami dan menerima perubahan dasar-dasar transformasi sosial dan ekonomi yang dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.

2.   Di Merlimau, calon BN Roslan Ahmad (44) menewaskan PAS diwakili oleh Yuhaizad Abdullah (38) dengan majoriti 3,643 undi. BN memperoleh 5,962 dan PAS 2,319. Seramai 78.98% keluar mengundi. Manakala di Kerdau pula Syed Ibrahim Syed Ahmad (44) mewakili BN mendapat 5,060 undi dan Hassanuddin Salim (43) wakil PAS sebanyak 2,336 undi. Seramai 83.2% telah menunaikan tanggungjawab mereka dalam pilihan raya serentak pada 6 Mac yang lalu.
 
3.   Momentum sokongan rakyat kepada BN berterusan. Sokongan ini menunjukkan keyakinan rakyat terhadap keseriusan BN menangani setiap permasalahan rakyat. Selain Kerdau dan Merlimau, kemenangan bergaya dikecapi bermula dengan  DUN Batang Ai (April 2009), DUN Bagan Pinang (Oktober 2009), Parlimen Hulu Selangor (April 2010), DUN Galas (November 2010), Parlimen Batu Sapi (November 2010) dan Tenang (Januari 2011).

4.   Kejayaan besar BN jelas apabila memenangi semua saluran iaitu 22 saluran di Kerdau dan 21 saluran di Merlimau. Di Kerdau umpamanya, Pusat Mengundi di SMK Kerdau, BN mendapat 698 undi dan PAS hanya 377 undi, SK Lipat Kajang (BN 243, PAS 99) dan Balai Raya Kerai (BN 286, PAS 44). Calon BN mengundi di SK Kuala Tekal dimana BN mendapat 241 dan PAS 64 undi.

5.   Kawasan FELDA yang merupakan kawasan tumpuan dan dianggap ‘panas’ dimana pembangkang cuba untuk meluaskan pengaruhnya tetap setia kepada parti kerajaan. Mereka nyata tidak terpengaruh dengan dakyah-dakyah dan momokan pembangkang yang mahu memecah-belahkan perpaduan dan keharmonian kehidupan peneroka FELDA. Pembangkang membuat pelbagai tuduhan palsu seperti kononnya FELDA bankrap, isu rumah generasi kedua, isu bayaran SES dan lain-lain lagi. Peneroka tetap tidak berganjak dari menyokong BN yang semakin yakin bahawa parti tersebut sahaja mampu membela nasib mereka. Ini jelas jika diteliti hasil sokongan dalam semua pusat mengundi di kawasan-kawasan FELDA. Pusat mengundi di SK Jengka 22 (BN 589, PAS 282), SK Jengka 25 (BN 307, PAS 43), SK Jengka 23 (BN 919, PAS 405) dan Dewan Serbaguna Rumpun Makmur (BN 412, PAS 159).

6.   Kejayaan BN ini lebih bermakna lagi apabila pengundian tersebut juga memperlihatkan ‘trend’ sokongan pengundi muda kembali kepada BN. Ini memberi tamparan hebat terhadap PAS yang kian merosot dan terhakis. Pengundi muda yang terdiri daripada golongan belia, anak-anak peneroka FELDA dan anak-anak Orang Asli nyata tidak mahu menggadaikan masa depan mereka. Mereka faham perjuangan ibu bapa mereka yang bertungkus-lumus untuk membela generasi muda. Keputusan ini juga menunjukkan sekiranya calon yang dipilih adalah baik, kempen yang dijalankan dengan cara yang tepat, pengundi muda yang sebelum ini dikatakan tidak menyokong BN boleh kembali kepada BN.

7.   Pola sokongan pengundi muda di Pusat-pusat mengundi Merlimau Pasir, Ayer Merbau, Chinchin, Jasin Lalang, Permatang Serai dan Pengkalan Samak menunjukkan sokongan padu pengundi muda yang berpihak kepada BN. Paling ketara di Jasin Lalang, BN memperoleh 256 undi berbanding PAS hanya 48 undi, Permatang Serai (BN 313, PAS 112) dan Pengkalan Samak (BN 338, PAS 127).

8.   Keyakinan pengundi muda ini bersandarkan kepada dasar-dasar kerajaan yang banyak membantu golongan muda, umpamanya, Dana Belia 1Malaysia yang memberi peluang kepada belia-belia mendapat bantuan menjana ekonomi; program pendidikan berterusan; peluang-peluang pekerjaan, penyertaan dalam membuat keputusan; dan berbagai peluang dan ruang diberikan kepada golongan tersebut.

9.   Rakyat sudah bosan dengan janji-janji politik pembangkang. Sudah tiga tahun berlalu, masih banyak janji yang belum ditunaikan di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan. Pembangkang tidak berlaku jujur dan adil kepada rakyat yang mengundi mereka. Tidak banyak yang boleh dilakukan merka kerana politik mereka bukan politik jujur mahu membantu rakyat sebaliknya terus bermain politik untuk mengekalkan kuasa peribadi sendiri. Tidak hairanlah berlaku kepincangan dalam pemilihan parti mereka, isu moral ketua mereka yang masih berlarutan, pemberian peluang-peluang perniagaan kepada kroni-kroni, kes kecurian pasir, kecelaruan pendekatan dalam menangani desakan rakyat, dan lain-lain lagi.


10.                Di Sarawak, seramai 310,000 pengundi muda iaitu 33% daripada jumlah 900,000 pengundi keseluruhannya. Pengundi muda kaum Cina (100,000), Melayu (70,000) Bumiputera lain (140,000) dan lain-lain suku kaum (1,000). 73% terdiri daripda golongan muda berumur antara 21 – 30 tahun dan 27% mereka yang berumur antara 31 – 40 tahun.

11.                Terdapat kira-kira 700 buah persatuan  yang dianggotai oleh golongan belia di negeri ini. Mereka perlu didekati untuk disampaikan maklumat dan hasrat kerajaan melalui system komunikasi berkesan. Persatuan-persatuan ini boleh digunakan sebagai agen membentuk pemikiran, perlakuan dan sikap politik yang condong kepada BN.

12. Ketika ini pengundi muda boleh menilai keupayaan parti-parti pembangkang. Mereka sebenanrnya telah hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim, pemimpin utamanya yang dilihat bersikap ego, berlagak pandai, mementingkan diri sendiri, mengutamakan kroni dan ahli keluarga, mempunyai moral peribadi yang rendah. Beliau dilihat sebagai lemah, menjadi 'liabiliti' kepada pembangkang dan tiada kesungguhan untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan parti-parti pembangkang.

13. Berbanding BN, pendekatan'touch-point' atau sentuhan terus merupakan pendekatan baru yang diambil yang boleh memikat pengundi muda yang dianggap undi penentu. Pembaharuan yang dibawa oleh Dato' Sri Najib ini nyata memberikan hasil yang lumayan kepada BN.

14.  Kemenangan ini diharap tidak melekakan BN. Perjuangan BN  masih belum selesai, persediaan dan persiapan lebih mantap dan jitu perlu dilakukan bagi menghadapi pilihan raya negeri Sarawak tidak lama lagi dan pilihan raya umum ke 13. BN mempunyai tugas besar untuk memastikan momentum kemenangan ini terus memihak kepada mereka demi masa depan Negara.
       

No comments:

Post a Comment