Friday 30 September 2011

BUKIT KEPONG : SARJAN JAMIL PAHLAWAN MELAYU SEJATI

BAHAGIAN I

1.  Saya ingin memaparkan dalam tulisan kali ini berkaitan dua tokoh yang mempunyai ‘autoriti’ dalam isu Bukit Kepong yang telah dibangkitkan oleh Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS pada 21 Ogos 2011 yang lalu. Mereka ialah Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam, Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) memang diakui sebagai seorang yang pakar sejarah dan Datuk Seri J.J.Raj, bekas Ketua Polis Daerah Pagoh. Saya terpanggil untuk menggabungkan kedua-dua paparan tulisan dan temubual mereka seperti yang disiarkan Mingguan Malaysia pada 4 September 2011.

2.  Peristiwa tersebut amat wajar dibaca dan difahami oleh semua warga Malaysia yang ingin mengetahui lebih mendalam sejarah Negara. Berikut adalah sebahagian peristiwa tersebut untuk kita kongsi bersama.       

3.  Serangan bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM) ke atas Balai Polis Bukit Kepong, 35 kilometer dari Muar, jam 4.30 pagi pada 23 Februari 1950, adalah sangat berkesan dalam sejarah Negara.  Ia berlaku sehari sebelum masyarakat Cina menyambut Tahun Baru Cina. Pada masa itu J.J.Raj (berumur 27 tahun) adalah Ketua Polis Daerah (OCPD) Pagoh yang bertanggungjawab menjaga 20 balai polis dan 20 pondok polis termasuk Balai Polis Bukit Kepong.

4.  Pada 22 Februari 1950 beliau telah membuat lawatan bersama 10 anggota dengan menaiki kenderaan melalui Lenga dimana berlaku serangan hendap komunis. Di Balai Polis Bukit Kepong, beliau bertemu dengan Sarjan Jamil Mohd Shah, Penghulu Ali dan beberapa orang mata-mata membuat rondaan berbasikal sekitar Pekan Bukit Kepong.

5.  Serangan itu memperlihatkan kegigihan dan kecekalan anggota polis yang begitu kecil jumlahnya iaitu 20 orang bersama enam Pengawal Kampung (Home Guards) mempertahankan maruah institusi yang melambangkan keselamatan dan kedaulatan Negara dan masyarakat.

6.  Mereka memang menjadi sasaran Parti Komunis Malaya untuk meletakkan Regimen 3 dan 4 untuk bergerak dan menguasai Johor. Serangan yang melibatkan 180 – 200 orang anggota Malayan Races Liberation Army (MRLA), PKM itu diketuai oleh Mat Indera. Tepat jam 4.30 pagi pengganas komunis meniup trumpet kali pertama dan mereka melepaskan tembakan ke arah Balai Polis Bukit Kepong dengan menggunakan senjata automatik.

7.  Dalam serangan itu Sarjan Jamil Mohd Noh (berumur 28 tahun), Ketua Balai telah mengetuai anak buahnya yang hanya berbekalkan dua pucuk senjata automatik untuk mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong, Balai Penghulu dan Berek Kelamin Polis daripada ditawan oleh komunis. Mereka tidak mahu menyerah kalah walaupun dipujuk oleh Mat Indera melalui isteri seorang anggota polis yang dapat ditangkapnya di berek kelamin.

8.  Kira-kira jam 6.30 pagi, pihak komunis meniup trumpet untuk kali kedua dan tembakan dihentikan serta merta. Mat Indera melalui pembesar suara telah meminta polis menyerah diri sekiranya mahu selamat tetapi Sarjan Jamil menjawap yang pihak polis tidak sesekali menyerah diri. Dia berkata, biar putih tulang jangan putih mata. Ketika itu ramai anggotanya telah terbunuh dan cedera parah. Tanpa rasa kasihan, pengganas komunis meniup trumpet buat kali ketiga dan terus menghujani anggota polis dengan tembakan bertali arus meliputi sekeliling balai. Namun komunis gagal memasuki kawasan balai sehingga mereka terpaksa melakukan serangan dengan ‘molotov cocktail’ hingga menyebabkan balai terbakar. Sarjan Jamil dan anggotanya lari ke kubu bersebelahan untuk menyerang balik komunis. Mereka tidak menyerah kalah.
9.  Mereka tidak berganjak daripada lubang-lubang kubu pertahanan mereka walaupun seorang demi seorang anggota polis itu tercedera dan tertewas oleh peluru komunis yang datang dari kekuatan komunis tujuh kali ganda ramainya seperti hujan menimpa bumi. Mereka berjuang selama enam jam tanpa mengira keselamatan jiwa mereka. Ada juga isteri-isteri polis yang cuba melawan membela kematian suami mereka. Namun kudrat mereka tidak seberapa. Kekejaman komunis mengatasi segala-galanya.

10.  Mereka bukan sahaja membakar kompleks balai polis itu menjadi debu, tetapi sanggup membaling seorang anggota polis yang cedera ke dalam api yang sedang membara. Tiga orang isteri anggota polis juga dihumban ke dalam api tanpa belas kasihan. Ada yang terpaksa berpelukan ketakutan menunggu kematian yang menyeksakan itu. Seorang kanak-kanak juga menjadi mangsa kekejaman komunis. Mereka rentong seperti arang.

11.  Seramai 27 orang yang terkorban mempertahankan Balai Polis itu; 14 orang anggota polis, 5 anggota polis bantuan, 4 isteri polis dan 4 anak-anak polis serta 4 lagi anggota polis cedera parah. Bagi Mat Indera dan PKM, ini adalah satu kejayaan besar. Mat Indera tidak rasa bersalah walaupun mereka yang dibunuh dan dibakar hidup-hidup adalah sebangsa dan seagama dengannya.

12.  Hanya Yusof Rono, seorang anggota polis yang cedera parah dapat melepaskan diri untuk meminta pertolongan. Dato’ Onn Jaafar, Menteri Besar Johor dan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri, yang telah melawat  kawasan itu menyifatkan pertahanan anggota-anggota Balai Polis itu adalah sebagai suatu tindakan yang sangat ‘determined and heroic’.

13.  Tetapi mengapa Balai Polis Bukit Kepong yang menjadi sasaran komunis? Peristiwa ini sebenarnya bermula pada 16 Jun 1948, pengganas komunis telah menembak seorang pengurus estet di Sungai Siput, Perak. Kemudian ia merebak menyerang balai-balai di seluruh Negara termasuklah 300 orang pengganas komunis menyerang balai polis Gua Musang dan bertindak kurang ajar dengan menyerang dan menaikkan bendera di merata balai yang diserang dan mengisytiharkan pula kawasan tersebut sebagai white area (milik mereka).

14.  Namun sekitar awal 1950-an, pasukan keselamatan dan polis semakin kuat, mengakibatkan komunis semakin lemah dan ramai yang ditembak mati. Beberapa bulan sebelum peristiwa Bukit Kepong, iaitu pada 22 Januari 1950, kira-kira 22 pengganas komunis ditembak mati di Labis. Untuk menaikkan semula semangat perjuangan mereka, pihak atas komunis telah memberi arahan supaya mencari sasaran yang lemah untuk diserang. Maka dikenal pasti Balai Polis Bukit Kepong yang terletak jauh di pedalaman dan sukar berkomunikasi yang hanya boleh dihubungkan melalui jalan kampong dan Sungai Muar.

15.  Dari rentetan persitiwa ini jelas bagaimana kentalnya semangat anggota keselamatan mempertaruhkan nyawa mereka untuk mempertahankan maruah dan pengganas komunis tanpa rasa belas kasihan menunjukkan kekejaman mereka bagi mendapatkan kuasa.

16.  Sarjan Jamil bersama anggota-anggotanya itulah sebenarnya pahlawan Melayu sejati.

17.  Mengapa Mat Sabu tiba-tiba mahu mengangkat PKM dan Mat Indera sebagai hero? Ia ibarat bom jangka bagi orang Melayu di Negara ini. Mat Sabu akan menerima balasan dan kecaman paling hebat dan terpahat dalam sejarah baru Negara. Mat Sabu tidak boleh berbohong dengan sejarah. Rakyat akan menghukumnya…..!