Tuesday, 10 July 2012

PERPADUAN MASYARAKAT : ADA KESILAPAN?

Syukur alhamdulillah, di dalam kesibukan bekerja dan menjalankan urusan-urusan yang diamanahkan, sempat juga mencuri sedikit masa bersantai bersama rakan-rakan. Sambil menghirup secawan teh, perbincangan banyak bertumpu kepada hal-hal penyatuan umat Islam masa kini yang semakin tidak diketahui penghujungnya. Masih adakah lagi keupayaan untuk bersatu? Masih adakah lagi sikap bertanggungjawab dalam diri umat Islam? Berikut beberapa catatan perbincangan yang sempat dirakamkan untuk renungan kita bersama.....

1.  Apabila sesebuah masyarakat tidak lagi aman damai, berpecah dan tidak harmoni, tentu ada silap di mana-mana dalam pengurusan kehidupan masyarakat tersebut. Supaya keadaan itu dapat dipulihkan, kenalah kesilapan penguruan itu dibetulkan. Dan ia hanya boleh dibuat oleh orang yang benar-benar faham tentang kedudukan perkara ini.

2.  Perpaduan dan keselamatan hakiki hanya boleh dicapai jika manusia kembali kepada jalan Allah dan Rasul, yakni mengikut al-Quran dan Sunnah. Lihat sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Aku tinggalkan untukmu dua perkara. Tidak akan sesat sesiapa yang menurut kedua-duanya. Yakni Kitabullah dan Sunnahku."

3.  Ertinya manusia hari ini sudah membelakangkan al-Quran dan Sunnah. Sebab itu mereka tersesat dalam mencari erti perpaduan dan keselamatan sebenar hidup di dunia dan akhirat. Kecuaian untuk mendalami ilmu agama atau kecuaian mengamalkannya telah mengakibatkan umat Islam tidak kenal Islam yang cantik dan sempurna itu. Mereka hanya mengambil aspek-aspek tertentu sahaja untuk diamalkan tetapi menolak aspek-aspek lain.

4.  Antara kelainan-kelainan yang berlaku di kalangan anggota masyarakat daalm memahami atau mengamalkan Islam itu ialah:-

    4.1.  Ada kumpulan alim ulama' tahu hukum-hakam dan selok-belok agama tetapi mereka tidak faham penyakit masyarakat, tidak faham isu semasa dan tidak berperanan untuk mendidik dan memimpin masyarakat ke arah Islam yang sebenar. Iman mereka nampak lemah.

    4.2.  Ada kumpulan bijak pandai yang hanya memahami ilmu dunia tetapi jahil tentang ilmu agama. Kerana itu mereka tidak tahu yang mana perkara yang hak dan yang mana pula yang batil. Tidah tahu apa matlamat hidup dan apa pula perkakas-perkakas untuk hidup hingga bercelaru antara kedua-duanya.

    4.3.  Ada kumpulan pejuang-pejuang Islam gigih memperjuangkan Islam tetapi kurang ilmu tentang syariat Islam, khusunya tentang kaedah atau cara perjuangan itu sendiri. Maka walaupun mereka tahu masalah masyarakat namun usaha-usaha mereka tidak tepat sasarannya. Ibarat orang yang tahu penyakit seseorang tetapi tidak tahu mengubatinya. Jadilah orang yang sakit itu bertambah parah lagi sakitnya. Mereka berjuang mengikut semangat semata-mata yang kadangkala hanya menguntungkan musuh.

    4.4.  Ada kumpulan yang tidak yakin bahwa Islam mampu menyelesaikan semua masalah kehidupan. Mereka ini tetap mengaku Islam sebab takut meninggalkan agama secara terang-terangan. Mereka takut dihukum oleh masyarakat. Namun perjuangan hidup mereka bukan untuk Islam.

5.   Ini merupakan pembahagian secara umum golongan umat Islam yang masing-masing mempunyai sikap terhadap agama Islam. Islam seolah-olah disiat-siat atau dicincang-cincang kepada kepingan-kepingan kecil. Setiap kumpulan mengambil kepingan-kepingan yang sempat dan mampu diambil. Mereka tidak dapat melihat dan menikmatin keindahan Islam secara keseluruhan. Hidup mereka semacam tidak menentu. Seperti firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 85 bermaksud: "Apakah kamu beriman dengan sebahagian isi kitab dan meninggalkan sebahagian yang lain. Tidaklah yang demikian itu melainkan ditimpa kehinaan di dunia, dan di akhirat akan dikembalikan pada azab yang pedih."

6.   Oleh itu setiap dari kita sebagai umat Islam perlu melihat kembali kaedah yang diperjuangkan oleh Rasulullah SAW dalam menyelesaikan kemelut perpaduan dan keharmonian masyarakat.

Wallahua'lam.....

No comments:

Post a Comment