Sunday 7 August 2011

ASRAMA DAN GEREJA


1.     Belum pun reda dengan isu asrama Yayasan Selangor di Kg Pandan yang akan dirobohkan, timbul pula isu serbuan ke atas sebuah gereja Methodist di Seksyen 13, Petaling Jaya. Tindakan mahu merobohkan asrama yang telah memberikan jasa baktinya lebih 30 tahun kepada rakyat Selangor merupakan tindakan zalim kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor. PKR patut diberitahu bahawa Asrama Yayasan Selangor di Kuala Lumpur yang ditubuhkan pada tahun 1975 bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar miskin dari kampung-kampung di negeri Selangor melanjutkan pendidikan di sekolah-sekolah terpilih di sekitar Lembah Kelang.

2.   Kita masih teruja dengan kemeriahan dan kegiatan penghuni Asrama Tun Dr. Ismail dan Asrama Toh Puan Norashikin dimana pelajar lelaki dan perempuan tinggal dan bersekolah di Sekolah Menengah Aminuddin Baki, Sekolah Menengah Victoria, Sekolah Menengah Convent Bukit Nenas dan Sekolah Menengah Methodist.

3.   Memang panas situasi di Selangor sejak PKR dan rakan-rakan sekutunya memerintah. Lepas satu, satu isu timbul. Masih banyak janji PRU12 yang belum ditunaikan mereka, berbagai alasan diberi untuk mengabur pandangan rakyat. Dulu heboh isu-isu penjualan arak, gambar bogel Elizabenth Wong, curi pasir, perlantikan SUK,  tanah Yayasan Basmi Kemiskinan, Penasihat RM1, konsert di I-City dan banyak lagi hal-hal panas yang merimaskan rakyat Selangor.

4.   Kelmarin timbul pula isu serbuan yang dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atas sebab dikatakan pihak gereja menjalankan kegiatan menyebarkan agama Kristian terhadap orang Islam.

5.   Exco Selangor yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam, Datuk Dr. Hasan Ali mempertahankan tindakan JAIS menyerbu gereja berkenaan. Sebagai seorang Exco sudah tentulah beliau mendapat maklumat tentang sebarang tindakan yang akan dilakukan oleh agensi dibawah seliaan beliau. Tetapi tindakan beliau ditempelak oleh oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim. Sehari selepas itu, Menteri Besar telah mengarahkan semua Exco Selangor ‘tutup mulut’ tidak membenarkan mereka membuat sebarang ulasan mengenai kejadian tersebut.

6.   Malah Tan Sri Khalid dengan segeranya berhasrat untuk berjumpa Pastor Kanan Daniel Ho untuk memohon maaf. Apakah tujuan beliau? Mengapa beliau berasa kesal? Apakah beliau tidak faham tentang tugas dan tanggungjawab JAIS?  Sebagai Menteri Besar, adakah beliau tidak maklum mengenai tugas JAIS menjalankan tugas penguatkuasaan undang-undang Islam termasuklah aktiviti yang menyebarkan agama lain kepada umat Islam. Kenapa dengan cepatnya beliau berjumpa Pastor tersebut sebelum mendapat penjelasan JAIS terlebih dahulu?

7.   Datuk Dr. Hasan Ali pula semacam telah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk dipecat sebagai Exco demi memperjuangkan kepentingan akidah umat Islam. Lagipun dalam mesyuarat Exco, hanya beliau seorang sahaja yang mempertahankan hal-hal berkaitan Islam manakala Exco bangsa Melayu yang lain tutup mulut termasuk Yaakob Sapari, Rodziah Ismail, Dr. Halimah Ali dan Iskandar Abd Samad menentang Exco lain seperti Teresa Kok, Dr. Xavier, Elizabeth Wong dan Ronnie Liu.

8.   Laporan media tempatan menyatakan bahawa terdapat maklumat orang Islam menghadiri majlis berbuka puasa di gereja berkenaan dan pemeriksaan mendapati 12 orang beragama Islam menghadiri majlis itu. Tiada tangkapan dibuat dan mereka diarahkan hadir di Bahagian Penguatkuasaan JAIS untuk siasatan lanjut. Tindakan ini bersesuaian dengan Perlembagaan Persekutuan Artikel 11 (4) Undang-Undang Negeri,dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Undang-Undang Persekutuan yang menyatakan ia boleh mengawal atau menyekat perkembangan apa-apa doktin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganut agama Islam.

9.   Jelas bahawa tindakan tergesa-gesa Tan Sri Khalid berjumpa dan memohon maaf boleh dipertikaikan. Apakah beliau tidak sedar bahawa mubaligh Kristian ini berusaha bersungguh-sungguh mempengaruhi pemikiran umat Islam di Selangor supaya mengubah akidah mereka kepada agama Kristian. Mereka diberikan bantuan kewangan, Bible versi bahasa Melayu dan lagu-lagu gereja dan ceramah-ceramah yang jelas menolak Islam dan Nabi Muhammad S.A.W.

10. Apakah Tan Sri Khalid buta?

11. Amat memalu dan memualkan.

No comments:

Post a Comment